Surah Al-Baqara
Mereka
berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana
sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah
kami memilihnya) dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk
mencari dan menyembelih lembu itu)". (70) Nabi
Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang
dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk
membajak tanah (sawah bendang) dan tidak pula (digunakan untuk
mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak
ada belang pada warnanya". Mereka berkata: "Sekarang barulah engkau
dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar". Maka mereka pun
menyembelih lembu yang tersebut dan hampir-hampir mereka tidak dapat
menunaikan (perintah Allah) itu. (71) Dan
(ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu
tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap
melahirkan apa yang kamu sembunyikan. (72) Maka
Kami (Allah) berfirman: "Pukullah si mati dengan sebahagian anggota
lembu yang kamu sembelih itu". (Mereka pun memukulnya dan ia kembali
hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati dan
memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu
memahaminya. (73) Kemudian
sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih
keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan
mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang
pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di
antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah
tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan. (74) (Sesudah
kamu wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu mengetahui tentang kerasnya
hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa
mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal
sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah
(Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah
mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu
salah)? (75) Dan
apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu
dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman";
dan apabila mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: "Patutkah
kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah
diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai
kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya hujah (bukti) yang dapat
mengalahkan kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?" (76)
Comments
Post a Comment